Rabu, 20 Mac 2013

DIARI 14

Apa itu senget? Pernah ataupun tidak sahabat-sahabat dipanggil dengan perkataan senget? Contoh ayat, "Ee, sengetlah awak ni". Saya pun  pelik kenapa digunakan perkataan senget itu?  Menurut Kamus Dewan edisi keempat, perkataan senget bermaksud tinggi sebelah (letak atau duduk sesuatu benda). Tetapi apa yang saya dapati, perkataan senget ini sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi atau swasta.

Tetapi apabila saya perhatikan, perkataan senget ini biasanya disebut oleh orang-orang bandar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan sebagainya. Saya berpendapat, bagi mereka yang tergolong dalam kalangan yang  bercakap bahasa standard, mereka akan menggunakan perkataan ini untuk menggambarkan perasaan mereka terhadap seseorang sama ada marah, malu, bergurau atau sebaliknya.

Berbeza dengan orang-orang negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu yang akan menggunakan perkataan seperti bengong, tolol, bodoh dan sebagainya yang dianggap mereka sebagai perkara biasa apabila menyebutnya bagi menggambarkan situasi yang sama iaitu marah, malu, bergurau dan sebagainya. Tetapi jikalau orang negeri Selatan yang mendengar perkataan yang disebut oleh orang negeri Pantai Timur, mereka akan menganggapnya sebagai perkataan yang kasar dan tidak sesuai digunakan.

Kesimpulannya, jangan cepat membuat spekulasi terhadap seseorang yang menuturkan sesuatu perkataan yang kita anggap tidak sesuai digunakan kerana perbezaan tempat, pengalaman hidup, pendidikan yang diterima dan sebagainya akan menyebabkan percakapan dan perbuatan turut berbeza. Kenali dan fahami dulu seseorang itu barulah membuat penilaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan