Assalamualaikum dan selamat pagi.
Pada hari ini saya juga akan berkongsi pengalaman, dan pengetahuan dengan anda semua mengenai cengkerik. Adakah anda mengetahui banyak maklumat mengenai cengkerik ini atau anda hanya mengetahui bahawa cengkerik hanya akan dikesan apabila mengeluarkan bunyi pada waktu malam?
Di sini saya akan mengongsikan maklumat yang saya peroleh.
Cengkerik, famili Gryllidae adalah sejenis serangga berwarna perang dan hitam serta mengeluarkan bunyi dengan menggeselkan kepaknya. Cengkerik mempunyai badan leper dan antena panjang. Terdapat kira-kira 900 spesies cengkerik. Cengkerik biasanya nokturnal (aktif pada waktu malam) dan selalu disalahanggap sebagai belalang kerana mempunyai struktur badan yang sama termasuk kaki belakang yang dapat melompat. Cengkerik tidak berbahaya kepada manusia.
Diet dan kitaran hidup
Cengkerik ialah pebangkai omnivor yang makan bahan organik, dan juga tumbuhan reput, kulat, dan beberapa anak benih. Cengkerik makan bangkai sendiri jika tiada sumber makanan lain, dan menunjukkan kelakuan pemangsa ke atas cengkerik yang lumpuh.Cengkerik secara relatifnya mempunyai rahang yang kuat, dan diketahui menggigit manusia, biasanya tanpa memecahkan kulit. Walau bagaimanapun, gigitannya boleh menjadi sakit apabila terkena pada kulit sensitif seperti di jari taut selaput (antara jari dengan jari).
Cengkerik mengawan pada lewat musim panas dan bertelur pada musim luruh. Telurnya menetas pada musim bunga dan dapat mencecah 2,000 telur untuk setiap betina. Walau bagaimanapun, subspesies seperti Acheta Domestica bertelur hampir berterusan, dengan betina dapat bertelur sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Cengkerik betina mempunyai organ bertelur yang panjang seperti jarum dipanggil ovipositor.
Cengkerik popular sebagai sumber makanan hidup kepada haiwan peliharaan karnivor seperti katak, cicak, kura-kura, salamander, dan labah-labah.
Apabila menyebut mengenai cengkerik ini, saya ingin mengongsikan sedikit kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan. Kejadian ini berlaku semasa saya berada bersama sahabat-sahabat yang berbeza negeri. Pada pagi itu semasa kami berbual-bual, tiba-tiba muncul seekor cengkerik di hadapan kami. Saya dan rakan dari Kelantan memanggil cengkerik itu dengan panggilan "pok ki dik'. Apabila mendengar sahaja panggilan kami itu, kawan-kawan yang berbeza negeri mentertawakan kami kerana katanya nama yang diberi sangat comel.
Bagi saya mungkin bagi sesiapa yang pertama kali mendengarnya akan mengatakan comel atau kelakar sangat dengan nama cengkerik yang kami panggil, tapi yang paling kelakarnya, apabila salah seorang sahabat yang berasal dari Pokok Sena, Kedah memanggilnya dengan panggilan "pokedik". Apalagi, apabila kami mendengar sahaja dia memanggil dengan panggilan pokedik, kami yang mendengarnya terasa sangat lucu dan tidak habis-habis kami ketawa. Apabila sahaja kami melihatnya, kami akan teringat kan peristiwa pokediknya itu.
"Kemesraan mengeratkan ukhuwah"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan