Ahad, 7 April 2013

DIARI 21


Kesantunan berbahasa

Apakah erti kesantunan?

Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik muka,dan nada suara. 


Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. 

Fraser dan Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni dalam komunikasi. Selain itu, kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam perbualan terhadap pendengar (Brown dan Levinson, 1987).

Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar (2000) mengaitkannya dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar.

Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar sosio budaya msayarakatnya yang berpegang pada adapt resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti. Hal ini tergambar dalam perbilangan adat yang berbunyi:

“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.

Jadi, konsep kesantunan tidak lengkap jika perbincangannya terbatas kepada aspek berbahasa dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan dengan konsep keihklasan. Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah atau menunjukkan tingkah laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuan tersebut belum pasti menggambarkan keihklasannya. Manusia boleh bertopeng dengan pelbagai wajah untuk mencapai hasratnya, sedangkan hakikatnya tiada sesiapa yang tahu.



DIARI 20


Bahasa tinggi ialah bahasa baku atau bahasa standard dengan penggunaan kosa kata dan nahu yang betul. Ianya bahasa yang digunakan untuk bahan cetakan kekal (permanent print).


Bahasa Tinggi Secara Ringkas :

Dalam sosiologi pendidikan (
Basil Bernstein) ada dua bentuk bahasa. (tanpa mengira bahasa bangsa apa)

1) Bahasa terencat (restricted code)
 
2) Bahasa berkembang (eloborated code)


Bahasa Terencat
  • Bahasa yang tidak dapat berkembang.
  • Tidak mampu digunakan untuk menyalurkan ilmu dari budaya tinggi
  • Bahasa kelompok - yang digunakan dan difahami oleh kumpulan terpencil
  • Penggunaannya dengan tidak mempedulikan samada difahami secara meluas atau tidak
Ciri-ciri
1) Sebutan
dipendekkan contoh: hendak > nak, mari > mai
2) Imbuhan dibuang contoh: berjalan > jalan
3) Kosa kata tidak sesuai contoh: harus pergi, mesti pergi > kena pergi

4) Sendi kata diguna sewenangnya contoh: lah, kan,
5) Bahasa campur contoh : that's why lah, i kata
6) Ganti nama tidak sesuai contoh : gua, orang,

Bahasa Berkembang
  • Bahasa tinggi tergolong dalam bahasa berkembang.
  • Ia saluran kepada budaya tinggi (budaya berpengetahuan)
  • Boleh dikongsi dengan lebih ramai pengguna bahasa.
  • Penggunaannya merentasi ruang dan masa
  •  
Ciri-ciri

1) Sebutan
- disebut dengan jelas seperti dieja, seragam.
Contoh: 'Trafik hari ini lancar' jika disebut dj radio sebagai 'Trafik hari ini lanca' (r tidak dibunyikan) mungkin tidak difahami oleh mereka bukan dari kelompok sama. Contohnya seorang pelajar bahasa melayu dari luar negara pernah menyangka ia bermaksud perlahan kerana menggunakan 'lanca' - sejenis beca. Mereka belajar bahasa melayu tinggi dan bergantung pada ketepatan untuk memahami.


2) Imbuhan - penggunaan imbuhan lengkap contoh: jalan > berjalan


3) Kosa kata - pilihan perkataan yang lebih sesuai dengan fungsi


4) Sendi kata - digunakan dengan betul.


5) Bahasa campuran - tidak digunapakai selagi ada penggantinya


6) Ganti nama dan gelaran digunakan sewajarnya



DIARI 19


Penggunaan Slanga Dalam Kalangan Remaja.

Salah satu daripada jenis bahasa tak formal ialah bahasa slanga. Ada yang menyatakan bahawa slanga ialah dialek, ada yang mengaitkan slanga dengan cara pertuturan dan ada juga yang menyatakan slanga sebagai bahasa mesra. Walaupun bentuk bahasa slanga termasuk dalam jenis bahasa, bahasa tak formal yang digunakan oleh remaja ini agak membimbangkan.

Perkataan slanga menurut Kamus Dewan, didefinisikan sebagai "kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi". Menurut “The Oxford Companion to the English Language” oleh Tom McArthur (1996) istilah slanga ini berasal dari abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain” iaitu ketidaktentuan sebenarnya.

Secara etimologi kata, slanga berasal dari kata “sling” iaitu sebahagian daripada ungkapan yang dihubungkaitkan dengan “beggar language and rogues language” iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali berubah dan secara umum berbeza dengan kata kosa kata lainnya. Slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.

Golongan remaja yang mempopularkan bahasa slanga selalunya memanipulasikan ungkapan atau perkataan dengan memberi makna baharu kepada perkataan tersebut, contohnya mengancam, cun, cintan, balak, kacang, ayat, awek, pakwe, skima, jambu, sekodeng, member sound, bongek, mat rempit, siot, dan sebagainya.

Penggunaan bahasa slanga bukanlah fenomena baru yang melanda bahasa Melayu kerana lebih 20 tahun yang lalu, penggunaan bahasa slanga telahpun digunakan.  Perkataan 'kacang je' (mudah sahaja), 'ayam' (gadis) dan 'jambu'(cantik) sudah menjadi mainan mulut para remaja pada masa itu. Bahasa slanga juga turut dipopularkan oleh penyanyi rock. Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'.

Pada hari ni penggunaan bahasa slanga semakin popular terutama pada era teknologi maklumat dan juga melalui penggunaan SMS. Kadang-kadang perkataan seperti cikaro, usya, hampeh, kantoi, skema, meletup, poyo, cengkodok, dan sebagainya, sukar untuk difahami. Dalam bentuk tulisan, bahasa slanga bukan saja digunakan dalam bahan bacaan ringan seperti komik, malah majalah hiburan turut mempopularkan bahasa slanga ini.

Melalui ruangan 'chatting' dalam internet pula pelbagai bentuk slanga terhasil, antaranya, slanga yang terbentuk daripada percantuman dua perkataan seperti pekabor (daripada apa khabar), askum (assalamualaikum), saya menjadi sayer, mana menjadi maner dan banyak lagi.

Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan pengaruh bahasa slanga ini. Pada saya, walaupun perkembangan bentuk slanga tidaklah begitu membimbangkan, saya khuatir penggunaannya akan menular daripada bentuk lisan kepada bentuk penulisan. Penggunaan bahasa slanga menyebabkan bahasa kita yang seolah-olah seperti merempat  di negara sendiri.

Diari 18


Cakap Ajuk & Cakap Pindah

Apa itu cakap ajuk dan cakap pindah?
 
*Cakap Ajuk dan Cakap Pindah ialah percakapan yang dilaporkan semula secara lisan atau tulisan tanpa mengubah maksudnya.

    
*Cakap ajuk ialah percakapan seseorang yang ditulis semula dengan tidak mengubah maksud asalnya.
 
Contoh:
“ Tutup pintu kereta itu, “ kata Ayah kepada adik.


*Dalam penulisan, tanda petik atau pengikat kata  ("...") digunakan untuk cakap ajuk.

*Cakap pindah ialah perbualan seseorang yang telah ditulis semula dengan menggunakan bahasa tanpa mengubah maksudnya.


*Tanda petik ("...") tidak digunakan dalam cakap pindah.

 
Contoh:
 
Ayah menyuruh adik menutup pintu kereta itu. 

Contoh:
Cakap Ajuk
Cakap Pindah
``Saya harap awak dapat datang ke sekolah esok,’’ kata Cikgu Halimah kepada Hafiz.
Cikgu Halimah berharap agar Hafiz dapat datang ke sekolah esok.
``Di bilik makmal sekolah, saya dapati terdapat enam buah kerusi. Saya juga melihat ada satu unit televisyen dan lima unit komputer yang diletakkan di atas meja di sebelah pintu masuk,’’ kata Ali.
Kata Ali, di bilik makmal sekolahnya terdapat enam buah kerusi serta satu unit televisyen dan lima unit komputer yang diletakkan di meja bersebelahan dengan pintu masuk.
``Datang ke kantin segera!,’’ jerit Cikgu Laili kepada murid-murid Tahun Enam Melur.
Cikgu Laili berteriak mengarahkan murid-murid Tahun Enam Melur datang ke kantin segera.
``Saya hendak ke kedai,’’ kata Zulkifadli sambil mengayuh basikalnya.
Sambil mengayuh basikalnya, Zulkifadli memberitahu dia hendak ke kedai.
``Selamat Hari Guru,’’ kata murid-murid sekolah itu secara serentak semasa perhimpunan pagi.
Murid-murid sekolah itu mengucapkan Selamat Hari Guru secara serentak semasa perhimpunan pagi.